Monday, November 16, 2009

Hari Sukan Sekolah 2009

Jumaat,13 Nov - Kejohanan Sukan Tahunan SK Sepri Tengah 2009 telah berlangsung di padang sekolah dengan dirasmikan oleh YDP PIBG SK Sepri Tengah, En. Mohd Fuad b. Abdul Ghani. Kejohanan sukan pada tahun ini disertai oleh 141 orang murid dan turut dibantu oleh ibu bapa sebagai pegawai sukan.
Acara kejohanan sukan dimulai dengan acara perbarisan seawal jam 8.00 pagi dan diikuti dengan senaman "Chicken Dance" serta tarian "Poco poco".
Pelbagai acara telah dipertandingkan termasuk acara padang, sukaneka dan olahraga. Acara padang telah diadakan pada 9 November (Isnin) yang lalu dengan dikuasai oleh pasukan Rumah Hijau.
Walaupun cuaca kurang baik dengan hujan renyai-renyai sepanjang kejohanan berlangsung, namun ia tetap meriah dengan sokongan padu ibu bapa dan penglibatan murid yang bersungguh-sungguh dalam menyertai setiap acara yang dipertandingkan.
Kejohanan ini berakhir pada jam 10.30 pagi dengan upacara penyampaian hadiah kepada semua peserta termasuk ibu bapa yang menyertai acara khas pegawai sukan. Keputusan mkutipan mata keseluruhan kejohanan sukan, Rumah Hijau muncul juara dengan 106 mata, diikuti oleh Rumah Merah 101 mata dan tempat ketiga, Rumah Kuning dengan 96 mata. Tahniah kepada para pemenang.

Friday, November 13, 2009

KEM LITERASI AL-QURAN (KLIQ) 2009

RABU, 11 NOVEMBER 2009 - Panitia P. Islam dengan kerjasama pihak sekolah SK Sepri Tengah telah mengadakan satu program khas j-QAF iaitu "Kem Literasi Al-Quran (KLIQ) 2009". Program ini berlangsung selama 2 hari, bermula pada 11 November dan 12 November 2009, seawal jam 7.45 pagi sehingga 2.00 petang.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada murid tentang kemahiran membaca al-Quran serta membentuk disiplin diri ke arah melahirkan individu muslim yang cemerlang dari segi sahsiah, rohani dan memiliki keperibadian yang tinggi dengan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w.
Program ini turut melibatkan tenaga pengajar dari Kelas Agama Petang (KAP)dan turut dibantu oleh tenaga pengajar dari pihak luar yang dijemput khas untuk menjayakan program ini. Secara keseluruhan program ini mencapai objektif yang digariskan dan berjalan dengan jayanya. Diharapkan program ini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi SK Sepri tengah yang celik al-Quran.

Tuesday, October 20, 2009

SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

ISNIN, 19 OKTOBER 2009 - Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2009 peringkat sekolah telah diadakan di Dewan Bestari SK Sepri Tengah. Majlis ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Tn. Hj. Zainal Abidin b. Jaafar, Guru Besar SK Sepri Tengah.
Bermula pada jam 9.00 pagi, majlis ini dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Kebesaran Negeri Sembilan, diikuti dengan nyanyian lagu "Bahasa Jiwa Bangsa" oleh guru-guru SK Sepri Tengah secara "minus one". Murid-murid turut mengambil bahagian dengan menyanyikan lagu tersebut secara beramai-ramai.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan acara persembahan daripada murid-murid SK Sepri Tengah sama ada persembahan sajak, syair, bercerita dan nyanyian solo. Pelbagai gelagat dan aksi lucu yang dapat dilihat ketika persembahan berlangsung namun, semua warga sekolah amat ceria dan cukup terhibur dengan persembahan mereka yang terlibat.
Majlis ini diakhiri dengan tayangan gambar dan bersurai pada jam 1.35 petang.

Tuesday, October 13, 2009

SAMBUTAN & JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI (PROGRAM RIMUP)

ISNIN, 12 OKTOBER 2009 - Berdasarkan gagasan "1Malaysia" SK Sepri Tengah telah mengadakan satu program khas di bawah program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan atau lebih dikenali dengan akronimnya RIMUP iaitu Program Sambutan Aidilfitri di Dewan Bestari SK Sepri Tengah yang menggabungkan 4 buah sekolah (termasuk SK Sepri tengah)iaitu SK Datuk Undang Abdullah, SJK(C) Sungai Muntoh, dan SJK(C)Chun Yin. Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dan cukup meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang dipersembahkan oleh wakil setiap sekolah yang terlibat. Program ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh YB Tuan Siow Chen Pin ADUN Kawasan Chennah merangkap ahli Exco Kerajaan N.Sembilan.
Semua murid turut bersama-sama menikmati pelbagai jenis juadah berkonsepkan Hari Raya Aidilfitri yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Program ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari dalam suasana yang gembira dan ceria. Diharapkan program seperti ini mendapat kerjasama yang sebaiknya dan dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang.

Saturday, September 19, 2009

Tuesday, May 26, 2009

Gotong-royong Perdana PIBG

Pada 23 Mei lalu, SK Sepri Tengah sekali lagi menempa sejarah dengan berlangsungnya aktiviti gotong-royong perdana. Program ini adalah anjuran PIBG SK Sepri Tengah dengan kerjasama JKKK Kampung Sepri Tengah dan melibatkan pelbagai pihak lain seperti Felda Titi, UMNO Bahagian Jelebu, Sukarelawan BUDI dan orang-orang perseorangan.
Majlis bermula pada jam 8.00 pagi dengan kerja-kerja pembersihan kawasn sekolah, laluan masuk dari Kampung Sepri Tengah ke sekolah, Masjid Felda Titi dan beberapa tempat lagi. Pada masa yang sama, kaum ibu pula bertungkus lumus menyediakan makanan tengahari yang berupa Gulai Umbut Kelapa, Ikan Sembilang Salai dan beberapa jenis lauk lagi.
Tepat jam 11.30 pagi, YB Dato Seri Utama, Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Malaysia hadir bersama-sama rombongan. Turut serta ADUN Kawasan Chennah, YB Tn Siow Chen Pin, ADUN Sungai Lui, YB Dato Zainal Abidin Ahmad, Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda UMNO dan ramai lagi. Beliau sempat beramah mesra dengan hadirin seterusnya mengumumkan peruntukan komputer kepada pihak sekolah.
YB Dato Seri Utama Dr Rais Bin Yatim, sempat menjamu selera bersama ibubapa, guru-guru serta semua yang hadir sebelum meninggalkan majlis.







Sambutan Hari Guru 2009






Warga SKST sekali lagi meraikan sambutan Hari Guru 2009 dengan sambutan yang sederhana tetapi meriah. Sambutan yang diadakan 19 Mei 2009 bermula seawal jam 8.00 pagi dengan menjalankan aktiviti gotong-royong di persekitaran sekolah. Gotong-royong yang melibatkan guru dan murid dijalankan dalam suasana yang riang.Selain gotong royong pertandingan mewarna dan mencipta kad ucapan hari guru juga telah diadakan untuk memeriahkan sambutan hari guru tahun ini.Acara dewan bermula pada jam 10.00 pagi dengan persembahan pelbagai acara oleh pelajar. Persembahan ini melibatkan pelajar dari setiap kelas bersama guru-guru. Para pelajar juga diberikan ais krim percuma oleh guru-guru

Perkhemahan Perdana Tunas Kadet Remaja 2009







Jeram Toi– SK Sepri Tengah diberikan penghormatan untuk mengelolakan Perkhemahan Perdana Tunas KRS Daerah Jelebu Kali Pertama. Perkhemahan yang melibatkan hampir 150 orang pegawai dan anggota ini dijalankan selama 3 hari dua malam bertempat di Tapak Perkhemahan JBS Daerah Jelebu.

Sebanyak 9 buah sekolah terlibat di dalam perkhemahan ini bermula jam 3.00 petang 15 Mei hingga 3.00 petang 17 Mei lalu. Turut serta ialah pegawai pengiring TKRS mengikut sekolah, pegawai Teknikal Daerah dan juga jurulatih-jurulatih.

3 pertandingan mengikut sekolah telah diadakan iaitu Pertandingan Simpulan, Pertandingan Pertolongan cemas dan Pertandingan Kebudayaan. Manakala 2 pertandingan lagi menurut kumpulan integrasi.

Menurut Pengerusi Pengelola Perkhemahan, Tn Hj Zainal Abidin Jaafar yang juga Guru Besar SK Sepri Tengah, program sebegini harus diteruskan dan usaha pemurnian program tersebut hendaklah dilakukan dari masa ke semasa bagi emmastikan apa yang dijalankan relevan dengan keadaan dan senario semasa