Wednesday, October 26, 2011

Hari Sukan SK Sepri Tengah 2011

Selasa, 25 Oktober - Hari ini telah berlangsung Kejohanan Sukan Tahunan 2011 SK Sepri Tengah. Kejohanan sukan bermula kira-kira jam 9.00 pagi dengan acara perbarisan dan lintas hormat daripada para peserta kejohanan. Dengan jumlah 125 orang peserta, mereka telah menunjukkan kesungguhan dalam setiap acara yang dipertandingkan. Sejurus sahaja peserta memasuki kawasan padang, aktiviti kejohanan sukan diteruskan dengan acara senamrobik di bawah pimpinan Pn. Marina, Pn. Norin dan En. Fauzi. Para peserta kelihatan ceria dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan aktiviti tersebut.

Acara kejohanan dimulakan dengan sukaneka Tahap 1 dan Tahap 2. Para ibu bapa dan penjaga yang hadir turut tidak ketinggalan memberi sokongan yang padu kepada para peserta dalam setiap acara. Jam 10.15 pagi, kejohanan sukan berehat sebentar untuk memberi laluan kepada acara penyampaian hadiah bagi acara padang yang telah berlangsung pada hari sebelumnya. Sambil berehat para peserta dan semua tenaga kerja hari sukan sekolah menikmati kudapan yang disediakan sebelum acara kejohanan disambung semula dengan acara larian bagi Tahap 1 dan Tahap 2.

Setelah acara para peserta selesai dijalankan, acara kejohanan diteruskan dengan acara meniup belon khusus buat ibu bapa dan penjaga. Seterusnya acara memisahkan lingkaran racun nyamuk yang disertai oleh guru-guru dan staf sokongan sekolah memeriahkan lagi suasana di padang sekolah. Tepat jam 12.00 tengah hari, acara perasmian penutup kejohanan sukan sekolah bermula dengan ucapan daripada YDP PIBG SK Sepri Tengah, En. Mohd Fuad B. Abd. Ghani dan ucapan perasmian penutup oleh Yang Berbahagia Dato' Hj. Jalaludin B. Hj. Alias, Timb. Pemuda UMNO Jelebu. Beliau turut menyumbangkan RM1000.00 bagi menampung perbelanjaan jamuan hari sukan pada kali ini.

Adik Mohd Haffizudin B. Abd Jalil telah diumumkan sebagai olahragawan terbaik kejohanan sukan kali ini dan diikuti dengan olahragawati kejohanan iaitu adik Noratikahnadzirah Bt. Md. Sarif. Acara perbarisan dan kawad kaki terbaik telah dimenangi oleh pasukan Rumah Kuning dan pasukan Rumah Hijau telah memenangi acara hiasan khemah terbaik kejohanan sukan 2011. Pasukan Rumah Merah muncul juara acara tarik tali yang menyaksikan kesungguhan 12 orang peserta yang mewakili setiap rumah sukan dan turut mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan penjaga murid. YBhg. Dato' turut serta mengambil bahagian dalam acara tarik tali dengan bertindak sebagai pengadil bagi acara tersebut.

Kejohanan Sukan Tahunan SK Sepri Tengah telah melabuhkan tirainya dengan penuh kenangan manis dan berjaya dilaksanakan dengan lancar dan baik. Pada tahun ini, pasukan Rumah Hijau atau dikenali juga sebagai pasukan rumah sukan Dato' Shahmarudin muncul johan keseluruhan kejohanan sukan bagi tahun 2011. Semoga pada tahun hadapan, kejohanan sukan seperti ini terus mendapat sokongan yang baik daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga para peserta. Salam sukan, 1Murid 1Sukan dan majulah sukan untuk SK Sepri Tengah!

Monday, October 24, 2011

RAPTAI HARI SUKAN & ACARA PADANG (AKHIR)

Isnin, 24 Oktober 2011 - Hari ini akan berlangsung latihan sukan dan raptai penuh Hari Sukan SK Sepri Tengah yang akan dikendalikan oleh setiausaha sukan sekolah, En. Md. Rasid. Menurut beliau lagi, hari ini juga turut berlangsung acara padang (akhir) yang melibatkan acara terbuka bagi murid tahun 4 hingga tahun 6, lelaki dan perempuan.
Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat jauh, lontar peluru dan lompat tinggi. Selain itu, acara menghias rumah sukan turut diadakan pada tahun ini bagi memperlihatkan kreativiti dan semangat kerjasama antara guru rumah sukan dan ahli rumah sukan yang terlibat.
Semoga acara sukan tahunan sekolah pada kali ini berjalan lancar dan menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan murid khususnya dengan dibantu oleh guru-guru serta sokongan ibu bapa dan penjaga murid yang hadir, seterusnya dapat melahirkan para atlet sukan yang berkualiti dan berwibawa sebagai generasi pelapis yang dapat mengharumkan nama sekolah pada masa akan datang.

Majulah sukan untuk negara, 1Murid 1Sukan