Tuesday, September 11, 2007

Sejarah Latarbelakang Sekolah

Sekiranya anda berkunjung ke Daerah Jelebu, pasti anda merasa terkejut jika terjumpa sebuah kampung yang bernama Kampung Sepri. Masakan tidak, anda barangkali menyangka bahawa Sepri hanya berada di Rembau, Negeri Sembilan.

Di sinilah terletaknya sebuah sekolah antara yang tertua di Daerah Jelebu. Dibina atas dasar gotong-rotong oleh penduduk kampung yang merasakan kepentingan pelajaran kepada anak-anak mereka. Sekolah ini telah dibuka pada awal tahun 1950an dan dikenali dengan nama Sekolah Melayu Kampung Sepri. Pada awalnya, sekolah ini hanya membuka tiga kelas untuk murid Tahun 1, Tahun 2, dan Tahun 3.

Bahang darurat yang melanda negara telah menyebabkan sekolah ini terpaksa ditutup akibat penguatkuasaan Undang-undang Darurat. Penduduk Kampung Sepri dipindahkan ke lokasi sekarang ini bagi menjamin keselamatan mereka.

Setelah daerah Jelebu bebas dari pada ancaman pihak komunis, sekolah ini dibuka semula dengan nama Sekolah Umum Sepri dan kemudiannya dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Sepri Tengah kerana kedudukannya berada di tengah-tengah Kampung Sepri. En. Hussin seorang guru lepasan TUOS telah menjadi guru yang bertanggungjawab mengelola sekolah ini dari segi pentadbiran mahupun proses pengajaran dan pembelajaran.

Pada tahun 1963 pula, murid-murid Darjah 3 sekolah ini, tidak lagi meneruskan persekolahan mereka di SK Teriang. Darjah 4 telah mula dibuka atas permintaan ibu bapa kerana jarak perjalanan yang jauh dan tiada kemudahan pengangkutan awam pada ketika itu. Pada tahun 1967, Darjah 5 dibuka untuk kemudahan murid-murid sekolah ini.

Masa berlalu membawa pelbagai perubahan. SK Sepri Tengah mula mengalami perubahan dengan pembinaan bangunan 2 tingkat untuk pentadbiran, dua blok untuk kelas, kantin dan sebuah makmal ICT turut dibina untuk kemudahan semua murid.

No comments: