Monday, November 16, 2009

Hari Sukan Sekolah 2009

Jumaat,13 Nov - Kejohanan Sukan Tahunan SK Sepri Tengah 2009 telah berlangsung di padang sekolah dengan dirasmikan oleh YDP PIBG SK Sepri Tengah, En. Mohd Fuad b. Abdul Ghani. Kejohanan sukan pada tahun ini disertai oleh 141 orang murid dan turut dibantu oleh ibu bapa sebagai pegawai sukan.
Acara kejohanan sukan dimulai dengan acara perbarisan seawal jam 8.00 pagi dan diikuti dengan senaman "Chicken Dance" serta tarian "Poco poco".
Pelbagai acara telah dipertandingkan termasuk acara padang, sukaneka dan olahraga. Acara padang telah diadakan pada 9 November (Isnin) yang lalu dengan dikuasai oleh pasukan Rumah Hijau.
Walaupun cuaca kurang baik dengan hujan renyai-renyai sepanjang kejohanan berlangsung, namun ia tetap meriah dengan sokongan padu ibu bapa dan penglibatan murid yang bersungguh-sungguh dalam menyertai setiap acara yang dipertandingkan.
Kejohanan ini berakhir pada jam 10.30 pagi dengan upacara penyampaian hadiah kepada semua peserta termasuk ibu bapa yang menyertai acara khas pegawai sukan. Keputusan mkutipan mata keseluruhan kejohanan sukan, Rumah Hijau muncul juara dengan 106 mata, diikuti oleh Rumah Merah 101 mata dan tempat ketiga, Rumah Kuning dengan 96 mata. Tahniah kepada para pemenang.

Friday, November 13, 2009

KEM LITERASI AL-QURAN (KLIQ) 2009

RABU, 11 NOVEMBER 2009 - Panitia P. Islam dengan kerjasama pihak sekolah SK Sepri Tengah telah mengadakan satu program khas j-QAF iaitu "Kem Literasi Al-Quran (KLIQ) 2009". Program ini berlangsung selama 2 hari, bermula pada 11 November dan 12 November 2009, seawal jam 7.45 pagi sehingga 2.00 petang.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada murid tentang kemahiran membaca al-Quran serta membentuk disiplin diri ke arah melahirkan individu muslim yang cemerlang dari segi sahsiah, rohani dan memiliki keperibadian yang tinggi dengan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w.
Program ini turut melibatkan tenaga pengajar dari Kelas Agama Petang (KAP)dan turut dibantu oleh tenaga pengajar dari pihak luar yang dijemput khas untuk menjayakan program ini. Secara keseluruhan program ini mencapai objektif yang digariskan dan berjalan dengan jayanya. Diharapkan program ini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi SK Sepri tengah yang celik al-Quran.